TUJUH RAHSIA YANG SANGAT BESAR DAN KEDUDUKAN YANG AGUNG DI SISI ALLAH

Asy-Syeikh Al-Imamul-ajallu Abu Nashr Muhammad bin Abdurrohman Alhamdaani, semoga rahmat Allah berlimpah ke atasnya, (ketahuilah) bahawa Zat Pencipta, Yang sangat besar kekuasaanNya dan sangat tinggi kalimatNya serta berkesinambungan nikmatNya, telah menghiasi tujuh perkara dengan tujuh perkara, dan menghiasi pula bagi tiap-tiap tujuh perkara itu dengan tujuh perkara yang lainnya untuk memberitahukan kepada orang-orang yang berilmu bahawasanya angka tujuh itu mempunyai rahsia yang sangat besar dan kedudukan yang agung di sisi Allah, Maharaja yang memiliki kemudharatan dam kemanfaatan.

Pertama;
Allah menghiasi udara dengan tujuh lapis langit. Firman Allah yang bermaksud; “Dan Kami bina di atas kamu tujuh buah (langit) yang kukuh”. (Annabaa':12).Kemudian Allah Menghiasi dengan tujuh bintang. FirmanNya yang bermaksud; “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan gugusan bintang-bintang di langit dan Kami telah menghiasinya (langit itu) bagi orang-orang yang memandangnya”. (Q.S Al-Hijr:16).

Kedua;
Allah telah menghiasi padang yang lapang dengan tujuh lapis bumi. Firman Allah yang bermaksud; “Allah lah menciptakan tujuh langit dan seperti itu pula bumi.....” (Q.S Aththalaaq:12). Kemudian Allah menghiasi bumi itu dengan tujuh lautan sebagaimana firmanNya yang bermaksud; “Dan laut, ditambahkan kepadanya tujuh laut lagi sesudahnya.....” (Q.S Luqman:27).

Ketiga;
Allah telah menghiasi neraka dengan tujuh tingkat iaitu Jahannam, Sa'iir, Saqar, Jahiim, Huthamah, Ladhaa dan Hawiyah. Kemudian Allah menghiasinya dengan tujuh pintu, sebagaimana firmanNya yang bermaksud; “Ia (neraka) itu mempunyai tujuh pintu, tiap-tiap pintu (telah ditetapkan) untuk golongan tertentu dari neraka”. (Q.S Al-Hijr:44).

Keempat;
Allah menghiasi Al-Quran dengan tujuh surah yang panjang, kemudian menghiasinya pula dengan tujuh ayat pembuka kitab (faatihatul-kitaab). Sebagaimana firmanNya yang bermaksud; “Dan sesungguhnya Kami telah berikan kepadamu tujuh ayat yang dibaca berulang-ulang dan Al-Quran yang agung”. (Q.S Al-Hijr:87).

Kelima;
Allah telah menghiasi manusia dengan tujuh anggota badan iaitu dua tangan, dua kaki, dua lutut dan satu wajah. Kemudian menghiasinya dengan tujuh peribadatan iaitu dua tangan dengan doa, dua kaki dengan berkhidmat, dua lutut dengan duduk dan muka dengan sujud. FirmanNya yang bermaksud; “Dan sujudlah dan dekatkanlah (diri mu dengan Tuhan)”. (Q.S Al-Alaq:19).

Keenam;
Allah menghiasi umur manusia dengan tujuh peringkat iaitu pada masa lahirnya disebut 'radli', kemudian 'fathim', kemudian 'kuhul', kemudian 'syaikh'. Dan menghias tujuh peringkat umur ini dengan tujuh kalimat iaitu ucapan “Laa Ilaaha Illallaah Muhammad Rasulullah”. Firman Allah yang bermaksud; “Dan Allah mewajibkan kepada mereka kalimat taqwa (Laa Ilaaha Illallaah) dan adalah mereka berhak dengan kalimat taqwa itu dan patut memilikinya”. (Q.S Al-Fath:26).

Ketujuh;
Allah menghiasi dunia dengan tujuh negeri yang besar iaitu:
1.Hindustan
2.Hijaz
3.Bashrah, Badiyah dan Kufah
4.Iraq, Sham, Khurasan sampai ke Balakh
5.Roma dan Armenia
6.Negeri Ya'juj dan Ma'juj
7.Cina dan Turkistan.

Kemudian Allah menghiasi tujuh negeri besar dengan tujuh hari iaitu Sabtu, Ahad, Isnin, Selasa, Rabu, Khamis dan Jumaat. Dan Allah memuliakan dengan tujuh hari itu dari para nabi iaitu:
1.Hari Sabtu – Allah memuliakan Nabi Musa A.S
2.Hari Ahad – Allah memuliakan Nabi Isa bin Maryam A.S
3.Hari Isnin – Allah memuliakan Nabi Daud A.S
4.Hari Selasa – Allah memuliakan Nabi Sulaiman A.S
5.Hari Rabu – Allah memuliakan Nabi Ya'qub A.S
6.Hari Khamis – Allah memuliakan Nabi Adam A.S
7.Hari Jumaat – Allah memuliakan Nabi Muhammad SAW dan umatnya.

Wallahualam.

(Kitab: AS SAB'IYYAATU FII MAWAA'IDHI'LBRITYAAT)