SYUKUR DAN PUJI AKAN ALLAH


Pengertian Syukur;

Syukur pada asalnya ialah “Mengakui kebaikan orang, sentiasa mengingati dan membicarakan kebaikan -kebaikan itu”. Syukur akan Allah ialah “Mempergunakan segala bahagian anggota badan pada wadhifahnya...., (kesanggupan dan tempatnya) masing-masing yang telah ditentukan baginya oleh Allah”.Orang-orang yang mensyukuri Allah, tiada sesekali mahu mempergunakan matanya untuk melihat sesuatu yang haram. Ia sentiasa mempergunakan matanya untuk memandang segala yang diharuskan dan diwajibkan serta sentiasa mengajak anggota-anggotanya yang lain untuk melakukan perkara-perkara yang diharuskan dan diwajibkan Allah sahaja.


Hakikat Dan Pembahagian Nikmat;

Setiap kebaikan, kebajikan, kelazatan dan kebahagiaan bahkan sesuatu yang dicari dan disukai dinamakan “Nikmat”. Akan tetapi nikmat yang sebenar-benarnya nikmat adalah kebahagiaan di Hari Akhirat. Segala urusan yang kembali kepada manusia ada yang menghasilkan manfa'at dunia dan akhirat, misalnya ilmu pengetahuan yang mempunyai budi pekerti yang elok, ada yang hanya berguna di dunia sahaja bahkan jua di akhirat, ada yang menyusahkan di dunia dan menguntungkan di akhirat. Maka sesuatu yang berguna di dunia dan di akhirat itulah nikmat yang hakiki. Sebaliknya yang melaratkan di dunia dan di akhirat itulah bala bencana yang sebesar-besarnya. Sesuatu yang memberi guna di dunia dan di akhirat juga seolah-olah di pandang bencana juga oleh Ahli Makrifat. Sesuatu yang berguna di dunia tetapi memberi melarat di akhirat diibaratkan seperti madu yang mengandungi racun, sebagaimana kita pandang suatu nikmat (rezeki) yang sedap dan lazat. Tetapi jika kita tahu disebaliknya ada racun yang membinasakan tentulah kita memandang sebagai bencana yang bukan nikmat lagi. Sesuatu yang melarat di dunia dan menguntungkan di akhirat dipandang nikmat adalah seperti ibarat ubat yang pahit, ia mendatangkan kesembuhan bagi yang memakannya. Cuma hal yang tersebut ini diukur dengan keadaan manusia.
Nikmat itu ialah segala yang sedap dan lazat. Maka yang sedap dan lazat itu adakala dirasai kelazatannya oleh akal seperti ilmu. Adakala dirasai kelazatannya oleh perasaan badan manusia dan sebahagian binatang yang lain seperti kenyang dan bersetubuh. Kedua-dua kelazatan ini terdapat pada manusia dan pada seluruh macam binatang. Maka untuk menginsafkan diri, perhatikanlah firman Allah: “Bahawasanya Allah tiada mengubah keadaan sesuatu kaum, sehingga kaum itu mengubah keadaannya”. (Q.A.11 S.13 Ar ra'du). Tuhan mengubahkan nikmatNya lantaran kita mensia-siakan syukur. Tuhan menurunkan siksaNya lataran kita bergelumang dalam lautan dosa. Demikianlah hukum dan nikmat Tuhan yang menjadikan segala sebab.


Sebab-Sebab Yang Memalingkan Hamba Dari Bersyukur;

Jelaslah bahawa nikmat Allah yang diperolehi oleh makhlukNya tidaklah dapat dihitung banyaknya. Maka apakah gerangan yang memalingkan mereka dari bersyukur? Yang memalingkan mereka dari bersyukur ialah kebodohan dan kelalaian. Kebodohan dan kelalaian menghalangi mereka dari memahami nikmat. Sudah nyata, “Merasa gembira atas sesuatu pemberian seseorang iaitu atas keehsanan orang itu. Menyatakan kegembiraan itu dengan ucapan dan perbuatan”. Memelihara pemberian atau pertolongan itu dengan sebaik-baiknya dan mempergunakannya menurut cara yang dikehendaki oleh yang memberi nikmat atau pertolongan itu sendiri. Membalas pemberian atau pertolongan itu dengan mempergunakan nikmat-nikmat yang telah Allah berikan pada tempat-tempat yang dikehandaki dan menurut cara-cara yang diredhai. Dan membalas pemberian manusia ialah membalas pemberian dengan pemberian atau pertolongan dengan pertolongan dan sekurang-kurangnya dengan doa' yang baik saja. Syukur itu adalah perkara yang positif bagi sifat utama yakni “suka memberi dan suka menolong”. Dalam pada itu, hendaklah diingat seteguh-teguhnya, Janganlah kita melakukan kebaikan dan kebahagiaan kepada seseorang kerana mengharapkan pembalasan yang sebanding ataupun mengharapkan pembalasan yang lebih besar. Jika kita bersikap demikian tentulah telah hilang keikhlasan kita, ini tidak dapat dimungkiri.
Firman Allah SWT: “Dan janganlah engkau memberi sesuatu pemberian dan engkau, mengharapkan (pembalasan) yang banyak”. (Q.A.6. S.74. Al-Muddatstsir).